THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Thursday, April 9, 2009

1st Prize 160***km Category Al-Shiffa Kassan

KUALA TERENGGANU – Kejohanan Berkuda Endurance Piala Sultan Terengganu 2006 di Trek Berkuda Lembah Bidong, Setiu yang berakhir semalam menyaksikan penguasaan penunggang Malaysia dalam empat tempat teratas bagi kategori 160 kilometer.

Penunggang dari Kelantan, Nik Sabaruddin Daud, 53, muncul juara kategori peringkat antarabangsa itu dengan catatan masa 12 jam 38 minit 43 saat.

Dia yang mencatat kelajuan tunggangan 12.65 kilometer sejam menunggang kuda baka Arab bernama As Shiffa Kassan menewaskan Datuk Abdullah Taib yang ketinggalan lebih 10 minit di belakangnya.

Kemenangan Nik Sabaruddin itu menyaksikan beliau membawa pulang trofi, sijil dan wang tunai berjumlah RM10,000.

Beliau turut membawa pulang wang tunai RM2,000 apabila kudanya, As Shiffa Kassan turut memenangi kategori keadaan kuda terbaik.

Abdullah yang menunggang kuda bernama Blue Moon pula yang mencatatkan masa 12 jam 49 minit 45 saat dengan kelajuan tunggangan 12.47 kilometer sejam membawa pulang wang tunai RM8,000, selain piala dan sijil.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dalam satu majlis khas di Hotel Primula di sini, kelmarin. Baginda turut menyertai kejohanan dua hari tersebut yang bermula kelmarin.

Tempat ketiga bagi kategori yang pertama kali dipertandingkan sejak kejohanan itu dianjurkan empat tahun lalu menjadi milik Faizal Ismail yang mencatatkan masa 12 jam 53 minit 26 saat dengan kelajuan tunggangan 12.41 kilometer sejam.

Penunggang negara, Norlaily Buniyamin yang sebelum ini menarik diri dari Sukan Asia untuk memberi tumpuan pada kejohanan ini mencatatkan masa 13 jam 36 minit 4 saat dan muncul sebagai pemenang tempat keempat.

Faizal dan Norlaily masing-masing membawa pulang wang tunai RM6,000 dan RM4,000 berserta piala dan sjiil.

Dalam pada itu, Nik Sabaruddin yang ditemui memberitahu, beliau tidak menduga dapat memenangi kejohanan itu.

‘‘Saya sudah banyak menyertai pertandingan bersama kuda baka Arab ini sejak enam tahun lalu dan inilah kemenangan paling besar sejak penglibatan saya dalam sukan endurance,’’ katanya yang juga seorang pesara tentera laut.

Beliau berkata, cabaran paling besar dalam kejohanan itu ialah cuaca panas ketika melalui trek yang melibatkan pelbagai laluan seperti pantai, ladang kelapa sawit, kawasan berbukit dan kampung.

Sementara itu, seramai 13 daripada 23 penunggang dalam kategori 160 kilometer berjaya menamatkan perlumbaan.

Ini menunjukkan sebanyak 57 peratus penunggang berjaya menamatkan perlumbaan di mana peluang semakin cerah untuk Terengganu menjadi tuan rumah Kejohanan Endurance Dunia pada 2008 apabila jumlah itu mengatasi syarat 40 peratus yang ditetapkan Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa (FEI).

FEI menetapkan syarat tersebut bagi tahun ini untuk melihat kemampuan kuda menghadapi cabaran besar iklim tropika negara.

Dalam pada itu, penunggang dari New Zealand, Paul Jeffrey menjuarai kategori 80 kilometer dengan masa 5 jam 32 minit 35 saat manakala penunggang Malaysia, Amal Nadiah Tajudin menduduki tempat kedua (6 jam 2 minit dan 50 saat).

Mereka masing-masing membawa pulang RM5,000 dan RM4,000 beserta piala dan sijil.

0 comments: