THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Thursday, April 9, 2009

Berkuda Bukan Sukan Mewah.............

rk 01.1


BERDASARKAN fakta, bumi Malaysia mungkin bukan habitat semula jadi untuk haiwan kuda. Tetapi faktor itu bukan menjadi halangan besar kepada perkembangan aktiviti sukan berkuda yang kini menjadi sebahagian gaya hidup di kalangan sebilangan rakyat negara ini.

Kalau dulu sukan berkuda dikatakan eksklusif untuk golongan elit memandangkan ia sukan yang mahal kini ia semakin popular di kalangan orang biasa tanpa mengira peringkat usia, status mahupun bangsa.

Malah tidak keterlaluan apabila dikatakan masyarakat mula membuka mata terhadap sukan tersebut setelah mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadikan aktiviti berkuda sebagai sebahagian daripada rutin riadahnya.

Tambah bersemarak apabila Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, muncul sebagai antara jaguh dalam sukan kuda lasak (endurance), serta kelahiran bintang-bintang equestrian negara seperti adik-beradik Ambak (Quzier, Qabil, Quzandria Nur Mahamad Fathil) .

Kewujudan banyak kelab-kelab berkuda, turut mendorong kepada percambahan minat tersebut sama ada untuk tujuan menyertai pertandingan mahupun sekadar riadah.

Hakikatnya, berkuda bukan sekadar menyihatkan mental dan fizikal, malah dapat mendisiplinkan diri dalam kehidupan seharian kerana bukan mudah mendekatkan diri dengan seekor haiwan yang sifat semula jadinya kasar, liar dan kuat.

Pendapat tersebut turut dipersetujui pemilik sebuah ladang kuda di Kampung Haji Palil, Ulu Langat, Selangor , Zulasli Mohd. Isa.

“Memang terbukti aktiviti menunggang kuda mampu merangsang dan menguatkan otot, terutama di bahagian paling dalam seperti otot pelvik dan tulang belakang.

“Ia juga membantu melatih individu tersebut mengimbang diri, selain dapat meregangkan otot yang tegang, di samping memperbaiki kebolehan otot seluruh badan untuk bergerak,” katanya ketika ditemui di ladangnya, baru-baru ini.

Selain itu menurutnya, amalan menunggang kuda dapat mempertingkatkan kecekapan otak kiri bagi menjadikan seseorang itu lebih peka dan tangkas dengan persekitaran.

Bahkan mengikut sejarah, menunggang kuda mula dijadikan kaedah rawatan sejak 1875 bagi pesakit yang mengalami pelbagai masalah kesihatan, termasuk gangguan neurologi, sakit sendi, hilang keupayaan bergerak dan mengimbangi diri.

Selain menjadikan aktiviti menunggang kuda sebagai riadah menyihatkan untuk dirinya dan keluarga, Zulasli mempunyai alasan tersendiri memilih untuk memelihara haiwan tersebut.

“Saya ingin memenuhi sunnah Nabi. Sukan berkuda, memanah dan berenang adalah tiga aktiviti yang disaran agama. Sebab itu juga, saya menggalakkan anak-anak menyertai sukan ini,” katanya yang turut mengusahakan perniagaan haiwan ternakan akiqah.

Kini tiga daripada lima anaknya mahir menunggang kuda, malah anak sulungnya, Nurin Zarifah, 12, mengikuti kursus berkuda di pusat ekuestrian negara di Bukit Kiara.

Kursus yang dihadiri Nurin merangkumi cara pengendalian, memahami sifat kuda, penjagaan dan pelbagai aspek lagi. Anak kedua dan ketiga, Zhaim Nafis, 10, dan Zhaif Nasrullah, 8, pula telah pandai mengendalikan kuda dengan pengawasan bapa mereka.

“Aktiviti ini menunggang kuda ini setidak-tidaknya dapat mengeratkan hubungan saya dengan anak-anak,” sambil membelai tubuh ‘Boy’, kuda yang dibelinya tujuh tahun lalu pada harga cuma RM700.

Boy merupakan salah seekor daripada enam kuda yang dipelihara di ladang tersebut yang dikelilingi dengan kehijauan hutan berdekatan Pusat Kemahiran Belia Dusun Tua.

Mengenai tanggapan bahawa sukan berkuda hobi yang mahal, Zulhasli berkata, keadaan itu mungkin disebabkan kos memelihara haiwan tersebut juga agak tinggi kerana perbelanjaan untuk seekor kuda sahaja menjangkau hingga RM600 sebulan.

Namun katanya, ia bukan halangan bagi orang biasa untuk terbabit dalam aktiviti tersebut lebih-lebih lagi sekarang ini banyak kelab-kelab yang menawarkan aktiviti pada harga berpatutan.

“Sebab itu juga saya menubuhkan pusat riadah menaiki kuda di Dusun Tua ini bagi memberi peluang kepada orang ramai yang berminat untuk belajar menunggang kuda dengan bayaran yang murah,” katanya.

Bercakap mengenai teknik mengendalikan kuda, beliau berkata, sebagai haiwan yang telah dilatih untuk menurut perintah, penunggang harus pandai mengimbangi badan, berinteraksi dengan kuda dan tahu pergerakan kuda bagi mengelak daripada terjatuh.

Latihan yang lebih kerap akan membuatkan seseorang itu menjadi penunggang kuda yang cekap dan hebat.

Tengku Azura

Sesi fotografi WOW! di ladang kuda milik Zulhasli ini, merupakan pengalaman pertama menunggang kuda bagi model antarabangsa Tengku Azura.

“Kena pose dengan kuda? Something different...seronok juga agaknya,” katanya tidak menyembunyikan rasa teruja namun sedikit gentar.

Atas dasar profesionalisme apatahlah selepas 16 tahun bergelar supermodel, rasa gentar ditolak ketepi sebaliknya bagaikan penunggang berpengalaman beliau berjaya ‘menjinakkan’ Boy dengan usapan dan belaian lembutnya.

Biarpun hanya seketika, beliau tidak menafikan menunggang kuda sesuatu yang merelakkan lebih-lebih lagi jika kuda yang ditunggang ‘sebaik’ Boy.

“Ini kali pertama saya naik kuda. Seronok pula rasanya, mungkin selepas ini saya akan menjadikan aktiviti berkuda sebagai riadah di masa lapang,” katanya.

Lagipun katanya, aktiviti tersebut mungkin bermanfaat untuk kerjaya peragawati kerana berkuda dikatakan dapat membantu membentuk postur tubuh.

Menyentuh mengenai kos yang tinggi seperti anggapan ramai orang, Tengku Azura berkata: “Jika kita jadikan ia sekadar hobi atau aktiviti riadah bersama keluarga, mungkin tidak perlu berbelanja banyak.”

0 comments: